Pages

Saturday, June 12

Memberikan Nama Yang Baik

Sebenarnya, pemilihan nama-nama yang baik ini sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sifat peribadi dan akhlak seseorang Muslim.

Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Darda r.a. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda :

Maksudnya : “Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, manusia akan dipanggil menghadap Allah SWT dengan nama masing-masing dan nama bapa masing-masing (sepertimana nama di dunia). Oleh itu, pilihlah nama yang baik-baik untuk kamu sekalian.”

Ini bererti Nabi SAW melarang umatnya menamakan anak masing-masing dengan nama-nama tercela yang membawa makna yang tidak baik.

Sunat memberikan nama yang baik dan mencukur rambut pada hari ketujuh kelahiran bayi.





NAMA-NAMA YANG DIGALAKKAN

1. Nama-nama Nabi

Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Namakanlah (anak-anakmu) dengan nama-nama para nabi.”

Para nabi dan rasul ialah manusia pilihan Allah, ahli-ahli syurga dan mempunyai teladan yang terbaik.

2. Nama-nama yang Diambil Daripada Asma ‘ul Husna

Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya : “Sesungguhnya nama-nama paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman.”

3. Nama-nama Para Sahabat

Nama para sahabat Rasulullah SAW seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Saad, Zubair dan lain-lain juga elok dijadikan pilihan untuk nama-nama anak. Mereka terkenal sebagai ahli ibadah, pemimpin yang adil, pahlawan terbilang, pemikir agung, penghafaz al-Quran dan perawi hadis yang ulung.



NAMA-NAMA YANG DILARANG

1. Nama-nama Buruk yang Menjadi Cemuhan Masyarakat dan Menjatuhkan Maruah Anak seperti :

Sariq (pencuri)
Ashiah (ahli maksiat)
Kilab (anjing-anjing)
Jahil(bodoh)

2. Nama-nama yang Khusus Kepada Allah seperti :

Ahad (satu)

3. Nama-nama yang Tidak Membawa Faedah seperti :

Malikul Amlak (maharaja daripada segala raja)
Aflah (dapat kemenangan)
Yasar(pihak kiri)

4. Nama-nama dengan Sebutan Abd (Hamba) yang dikaitkan dengan Sesuatu Selain Allah seperti :
Abdul Uzza (hamba berhala Uzza)
Abdul Kaabah (hamba Kaabah)
Abdul Fulus (hamba wang)

Tahnik

Anjuran dalam Islam untuk melaksanakan tahnik iaitu membuka atau memecah mulut bayi yang baru lahir dengan buah tamar yang telah dikunyah oleh orang alim dan bertakwa.

Isi buah tamar yang telah dikunyah itu diletakkan di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi, ke kiri dan ke kanan mulutnya. Ini dilakukan sehingga kurma tadi menyentuh keseluruhan mulut sehingga ke rongga tekak bayi.

Ini bersesuaian dengan hadis Abu Burdah daripada Abu Musa r.a. :

Maksudnya : “Aku telah mendapat seorang anak, kemudian aku membawanya kepada Nabi SAW Baginda menamakannya Ibrahim, lalu mentaknikkannya (memecahkan mulutnya) dengan sebiji kurma.”

Antara hikmah amalan “tahnik” ini adalah untuk menguatkan saraf mulut bagi mempersiapkan bayi berkenaan untuk menghisap susu dengan sempurnanya.

Seandainya kurma sukar didapati, bolehlah digantikan dengan manisan lain seperti gula dan madu lebah.

Azan Dan Iqamat



Islam mensyariatkan agar azan dilaungkan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri bayi, sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a :

Maksudnya : “Aku bersyukur kepada Allah yang menganugerahkan. Sungguh sempurna kekuasaan-Nya dan kamu telah mendapat kebaikan-Nya.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Rafi’ :

Maksudnya : Abu Rafi’ berkata : “Saya melihat Rasulullah SAW membacakan azan pada telinga kanan Hasan bin Ali yang baru dilahirkan olehFatimah.”

Rahsia Azan dan Iqamat

1. Kalimah-kalimah memuji kebesaran IIahi yang disifatkan sebagai ucapan pertama yang meresap ke dalam hati sanubari insane yang baru lahir.

2. Satu penyataan syariat Islam yang berperanan mendahului dakwah syaitan terkutuk dan mengekang arus nafsu syahwat.

Memberi Khabar Gembira Dan Tahniah Atas Kelahiran Bayi


Kelahiran bayi merupakan satu khabar gembira bagi setiap insan. Justeru, orang-orang Islam yang mendengar khabar gembira ini perlu bersegera meraikan kegembiraan tersebut.

Ucapan tahniah terhadap pasangan yang menerima cahaya mata merupakan salah satu cara meraikan kegembiraan tersebut. Tujuan menyampaikan khabar gembira ini adalah untuk menanamkan perasaan kasih saying dan membina kesatuan sesame umat Islam.